Aidiladha peluang hayati erti sebenar pengorbanan, keikhlasan - Nurul Izzah
- Suara Keadilan
- Jun 7
- 1 min read

Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban adalah hari untuk umat Islam menghayati erti pengorbanan.
Hal itu ditekankan Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dalam perutusan sempena Aidiladha 1446 hijrah.
"Aidiladha ini memberi ruang untuk kita menghayati erti sebenar pengorbanan dan keikhlasan.
"Di saat berjuta umat Islam berkumpul di Tanah Suci ini, setiap ibadah yang dilakukan, dari tawaf di Baitullah hingga lontaran jamrah di Mina menjadi lambang keimanan, kesabaran dan harapan yang disandarkan sepenuhnya kepada Allah SWT," katanya dalam muat naik di Facebook.
Nurul Izzah yang sedang menunaikan haji di Mekah berkata, umat Islam perlu mengambil ibrah daripada kisah Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya, Nabi Ismail A.S. yang memberi pengajaran penting bagaimana cinta kepada Allah SWT melebihi segala galanya.
Katanya, hanya kecintaan kepada Yang Maha Berkuasa membuat insan mampu bersabar serta memberi keyakinan yang mampu menenangkan hati walau dalam saat paling mencabar.
Beliau dalam perutusan itu juga berharap agar ibadah korban yang dilakukan rakyat Malaysia di tanah air diterima Allah.
"Semoga segala ibadah serta korban kita diterima oleh Allah SWT sebagai tanda ketaatan dan kecintaan kepada-Nya.
"(Saya) mendoakan agar hari raya ini menjadi titik tolak buat kita semua dalam memperbaharui niat, menguatkan tekad dan menyuburkan kasih sayang sesama insan. Insya-Allah," katanya lagi.
Comments