AI Untuk Rakyat: KBS komited sedia peluang latihan untuk belia
- Azuan Ab Rahman

- 9 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 berhubung usaha memperluas akses kecerdasan buatan (AI) kepada golongan belia.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) menegaskan kementeriannya komited memastikan golongan belia tidak tercicir daripada perkembangan teknologi dengan menyedia lebih banyak peluang latihan dalam bidang itu.
"Dengan perkembangan teknologi AI yang begitu pesat, kita perlu memastikan tidak wujud jurang antara golongan belia yang mempunyai akses dan kemahiran AI dengan mereka yang tercicir daripada arus perubahan ini.
"Peluang untuk menguasai teknologi perlu tersedia kepada semua anak muda tanpa mengira latar belakang," katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani sementara itu menjelaskan, usaha tersebut akan dilaksanakan menerusi ekosistem pembangunan belia sedia ada serta kerjasama strategik dengan kementerian, agensi, institusi pendidikan, industri dan komuniti.
Perdana Menteri pada Ahad mengumumkan Program AI Untuk Rakyat untuk anak muda berusia antara 18 hingga 30 tahun dengan sasaran awal penyertaan sebanyak 100,000 belia.
Peserta yang melengkapkan modul pembelajaran AI menerusi platform Rakyat Digital akan menerima langganan aplikasi AI terkemuka secara percuma selama tiga bulan bermula pada 1 Sept.
Program tersebut merupakan satu daripada enam ikhtiar segera dilaksana kerajaan bagi menangani kebimbangan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup dan tekanan kehidupan seharian.
Sementara itu,Dr Mohammed Taufiq berkata inisiatif itu merupakan pelaburan strategik negara untuk membina generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi serta dunia pekerjaan.
"Anak muda Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi pengguna teknologi, malah perlu diperkasakan untuk menjadi pencipta dan peneraju teknologi.
"Penguasaan AI perlu diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, keusahawanan serta penyelesaian inovatif kepada cabaran yang dihadapi masyarakat dan negara," katanya.




Comments