top of page

AI dalam pendidikan: Mesti seiring pembentukan akhlak, nilai kemanusiaan

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
6 hours ago
1 min read

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital dalam pendidikan masa depan perlu diseimbangkan dengan pembentukan akhlak, nilai kemanusiaan serta budi pekerti bagi memastikan kemajuan teknologi melahirkan generasi berilmu dan berkeperibadian mulia.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, AI mempunyai keupayaan dari segi pengetahuan dan kepintaran namun tidak memiliki nilai, akhlak serta unsur kemanusiaan yang perlu dipupuk dalam diri setiap individu.


Menerusi perkongsian video di laman Facebook, beliau menegaskan bahawa penguasaan teknologi sahaja tidak mencukupi untuk membentuk insan yang mampu menggunakan ilmu secara bertanggungjawab demi kebaikan masyarakat.


Menurut beliau, sistem pendidikan perlu memastikan murid bukan sahaja mampu menguasai teknologi baharu, malah mempunyai pertimbangan moral, integriti dan keupayaan membezakan antara tindakan yang betul dengan yang salah.


Perkembangan AI yang semakin pesat membuka ruang kepada kaedah pembelajaran lebih interaktif, akses maklumat yang lebih luas serta pendekatan pengajaran yang dapat disesuaikan dengan keperluan murid. Bagaimanapun, penggunaannya perlu disertai bimbingan guru dan pemantauan yang sewajarnya.


Dalam konteks itu, guru dan institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam membimbing murid menggunakan teknologi secara beretika, termasuk menghormati hak cipta, menjaga privasi, menyemak kesahihan maklumat dan mengelakkan penyalahgunaan AI dalam tugasan akademik.


Pendekatan tersebut selari dengan penekanan kerajaan terhadap literasi AI dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab dalam pendidikan negara.


Kementerian Pendidikan Malaysia turut menerbitkan Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 2 Tahun 2026 sebagai panduan berkaitan literasi AI dalam sektor pendidikan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page