AI bantu manusia cegah jenayah, bukan ganti pertimbangan manusia


Malaysia mahu memperkukuh penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha mencegah jenayah, namun teknologi berkenaan tidak seharusnya menggantikan pertimbangan manusia dalam membuat keputusan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pendekatan itu penting dalam menghadapi landskap jenayah yang semakin kompleks termasuk radikalisasi, pemerdagangan manusia, jenayah terancang dan jenayah berasaskan teknologi siber.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Segmen Peringkat Tinggi Kongres Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-15 Mengenai Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, semalam.
Menurut Saifuddin, Malaysia perlu beralih daripada pendekatan yang sebahagian besarnya reaktif kepada keupayaan mengesan dan mencegah jenayah lebih awal.
"Jika jenayah semakin dipacu AI, pertahanan kita juga perlu diperkasakan dengan AI.
"Namun prinsipnya mesti jelas, AI boleh membantu manusia membuat keputusan, tetapi tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia," katanya dalam muat naik di media sosial.

Beliau berkata, kedaulatan undang-undang kekal menjadi asas kepada setiap tindakan pencegahan dan penguatkuasaan, selain memerlukan institusi berkeupayaan, integriti dalam perkhidmatan awam, akauntabiliti serta keyakinan rakyat terhadap pentadbiran keadilan.
Saifuddin berkata usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu selari dengan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 yang menyediakan kerangka menyeluruh bagi penggunaan AI secara bertanggungjawab, diyakini dan inklusif merentas sektor kerajaan, industri serta masyarakat.
Mengimbas lawatannya ke Abu Dhabi pada November 2024, Saifuddin berkata bandar berkenaan mempunyai makna tersendiri dalam perjalanan transformasi digital KDN.
"Saya tertarik dengan satu ungkapan, ‘AI for energy, and energy for AI’. Daripada ungkapan itu lahir gagasan ‘AI4KDN, KDN4AI’ dan daripada sebuah idea, kita mula menterjemahkannya kepada tindakan di KDN," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata perkembangan teknologi turut mengubah sifat dan skala ancaman, khususnya jenayah siber yang tidak mengenal sempadan.
"Jenayah siber tidak mengenal sempadan, justeru tidak mungkin ditangani oleh sesebuah negara secara bersendirian," katanya.
Sehubungan itu, Malaysia terus memperkukuh kerjasama antarabangsa termasuk melalui Konvensyen PBB Menentang Jenayah Siber yang ditandatangani Malaysia pada 25 Oktober 2025.
Malaysia turut menyokong Deklarasi Abu Dhabi sebagai langkah memperkukuh pencegahan jenayah, membina sistem keadilan yang lebih responsif, memperkasa institusi yang dipercayai serta memperluas kerjasama antarabangsa.
Selain itu, Saifuddin turut menyampaikan Malaysia’s Pledge for Justice sebagai penegasan komitmen negara terhadap keadilan.
"Dalam usaha memajukan pencegahan jenayah dan keadilan jenayah, Malaysia berikrar menjelang 2030 untuk memperkukuh kerangka kedaulatan undang-undang yang moden, saksama dan berteraskan rakyat; melindungi golongan rentan melalui pendekatan berteraskan mangsa dan mengambil kira trauma; serta memajukan inovasi digital secara bertanggungjawab dalam pencegahan jenayah negara, sambil terus melindungi rakyat, kedaulatan negara dan maruah manusia," katanya lagi.
Beliau berkata keseimbangan antara teknologi, undang-undang dan kepentingan manusia menjadi pendekatan Malaysia dalam memperkukuh keselamatan serta sistem keadilan negara.




Comments