
Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Idrus Harun.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata pelantikan Ahmad Terrirudin akan berkuat kuasa pada 6 September ini dan pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
"Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Idrus Harun atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara," katanya dalam kenyataan.
Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 April 1968, Ahmad Terrirudin merupakan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Cara Negara pada 25 Mac 2022.
Beliau yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB Hon) dari Universiti Malaya pada 1992 pernah menjawat jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah pada 2019 dan sebelum itu merupakan Timbalan Ketua Bahagian Guaman III, Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara pada 2017.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 2008 dan 2007.
Ahmad Terrirudin yang memulakan perkhidmatannya sebagai pegawai undang-undang (kehakiman) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2007 dan sebelum itu beliau adalah pegawai khas kepada Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada 2003.
コメント