Oleh: Abdullah Zaid
Suasana kempen Pilihan Raya Kecil hari terakhir di parlimen Pulai dihiasi dengan flashmob bagi menyeru pengundi di kawasan berkenaan memilih calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat sebagai wakil rakyat yang baharu.
Lebih bersemangat flashmob itu turut disertai oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan I yang hadir bagi memberi sokongan kepada acara berkenaan.
Walaupun kerjasama PH-BN baru berusia 9 bulan, namun pemimpin UMNO dilihat tidak kekok untuk membantu dan menyantuni ahli parti sekutu.
Dalam pada itu, pengguna jalan raya di Persisiran Perling satu membunyikan hon sebagai tanda sokongan calon PH.
Pelbagai sepanduk dan plakad dinaikkan kepada umum untuk memberi penerangan apa perlunya Kerajaan Perpaduan dipilih.
Pada 9 September ini, Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru dengan menentang calon PN, Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai dan calon Bebas, Samsuddin Mohd Fauzi.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan penyandang kedua-dua kerusi terbabit, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Bagi DUN Simpang Jeram, Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman berdepan dengan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya dan seorang calon Bebas, S Jeganathan.
Comments