Ahli politik tidak sehaluan dengan parti nyatakan pendirian, berundur - Bryan Ng
- Akmal Manaf

- Jun 9
- 2 min read

Ahli Parlimen yang dipilih atas tiket Pakatan Harapan (PH) tetapi kemungkinan tidak lagi sehaluan dengan parti perlu berlaku jujur kepada rakyat dan menyatakan pendirian sebenar mereka, kata Bryan Ng Yih Miin (gambar).
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN itu berkata, ahli politik tersebut seharusnya mengambil pendirian yang jelas, apatah lagi apabila kritikan yang dibuat mereka sejak kebelakangan ini dilihat tidak bersifat membina, sebaliknya cenderung menjejaskan imej parti dan presidennya.
"Jika mahu meletakkan jawatan, maka letakkan jawatan. Namun jika memilih untuk kekal, hakikatnya ramai sudah dapat melihat bahawa tindakan mereka mengkhianati mandat yang telah diberikan rakyat.
"Ramai yang bertanya, adakah salah sekadar menghadiri pelancaran parti baharu? Isunya bukan soal hadir atau tidak, tetapi apa yang dilambangkan oleh kehadiran itu kepada rakyat dan penyokong parti.
"Saya kata kalau mereka menghadiri program Pas atau UMNO, adakah reaksi yang diberikan akan sama? Sudah tentu tidak. Begitu juga jika seorang Ahli Parlimen KEADILAN menghadiri program Bersatu dan berada di atas pentas bersama presiden parti tersebut. Adakah perkara itu boleh dianggap biasa? Jawapannya tidak," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat beberapa pemimpin KEADILAN yang dikatakan berhasrat menyertai parti baharu iaitu Bersama, selain didakwa cuba mempengaruhi Ahli Parlimen lain untuk mengikut langkah sama meskipun masih memegang keahlian dalam KEADILAN.
Mengulas lanjut, Bryan Ng menegaskan, adalah tidak wajar bagi seseorang terus mengkritik dan menyerang KEADILAN di media sosial demi kepentingan politik namun pada masa sama enggan keluar parti kerana mahu mengekalkan jawatan sebagai Ahli Parlimen atau kedudukan yang diperoleh hasil kemenangan atas tiket KEADILAN dan PH.
Ujarnya, mandat yang diberikan oleh rakyat adalah untuk menyokong PH dan Kerajaan MADANI, justeru mana-mana wakil rakyat yang tidak lagi bersama perjuangan tersebut perlu menyatakan pendirian mereka secara jujur kepada rakyat.
Ketika majlis pengumuman parti Bersama yang diambil alih oleh mantan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini, beberapa pemimpin daripada KEADILAN dilaporkan telah hadir ke majlis berkenaan.
Susulan itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim menuntut Ahli-ahli Parlimen berkenaan memberikan penjelasan berhubung kehadiran mereka demi memastikan tindakan itu tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli parti serta tidak disalah tafsir sebagai mencerminkan pendirian rasmi parti.




Comments