Ahli Parlimen wanita azam tingkatkan Parlimen Malaysia ke arah peka gendar
- Redzuan Shamsudin
- Mar 8, 2021
- 2 min read

Ahli-ahli Parlimen wanita Malaysia berazam akan memperjuangkan Parlimen Malaysia sebagai Parlimen yang peka gender seperti mana termaktub di dalam garis panduan Kesatuan Antara Parlimen - IPU (Inter Parliamentary Union).
Menurut kenyataan bersama itu, garispanduan kesaksamaan gender yang ditetapkan oleh IPU ialah Parlimen yang dapat memenuhi keperluan dan kepentingan setiap lelaki dan wanita dari aspek komposisi, struktur, operasi, kaedah serta corak kerjanya.
Parlimen seperti itu dianggap dapat membuka ruang untuk penyertaan penuh wanita dan menawarkan suatu contoh atau model yang positif dengan mempromosikan kesaksamaan gender, dan pengupayaan wanita kepada masyarakat di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
"Hasrat untuk Parlimen Malaysia menjadi sebuah institusi yang mempunyai ciri-ciri seperti yang digariskan oleh Kesatuan Parlimen Antarabangsa akan kami usahakan bersama
"Justeru, kami nama-nama yang tersenarai ingin mengajak rakan sejawat, Ahli-ahli Parlimen lain untuk turut serta, sempena Hari Wanita Sedunia tahun ini di dalam ikrar untuk mengangkat martabat Parlimen Malaysia ke arah menjadi Parlimen yang peka gender
"Komitmen bersama dari Ahli-Ahli Parlimen Malaysia yang menyenaraikan kesemua Ahli Parlimen, akan kami angkat ke IPU dan CPA (Commonwealth Parliamentary Association) pada penghujung bulan Mac 2021 nanti.
"Wakil- wakil masyarakat beserta orang ramai juga digalakkan untuk menggesa Ahli Parlimen masing-masing menurunkan tandatangan dan seterusnya komited di dalam menghayati hasrat murni ini," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh 33 Ahli Parlimen Wanita Malaysia.
Tekad yang akan diperjuangkan oleh Ahli-ahli Parlimen wanita Malaysia itu adalah seperti berikut:
1. Memberi keutamaan kepada Rang Undang- Undang serta dasar yang mengarah kepada kesaksamaan gender.
2. Perbahasan dalam Dewan yang mencerminkan kepekaan isu gender.
3. Menilai kemungkinan reformasi sistem pilihanraya demi memastikan representasi gender lebih seimbang di dalam Parlimen Malaysia.
4. Bajet dan peruntukan kewangan yang responsif kepada keperluan gender di dalam segala aspek tugasan kementerian dan agensi.
5. Berusaha ke arah mewujudkan kesaksamaan gender di dalam perlaksanaan program Jawatankuasa Pilihan Khas di Parlimen Malaysia.
6. Memastikan bahawa pembangunan prasarana di Parlimen Malaysia mengambil kira keperluan gender serta dasar-dasar berkaitan penjawat awam yang bertugas beserta Ahli Parlimen juga merupakan dasar merangkumi keperluan gender.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli-ahli Parlimen Malaysia tanpa mengira parti dan ideologi politik.
Comments