
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew mahu struktur haram dan longkang yang ditutup konkrit oleh pemilik premis di kawasan Prima Setapak dialihkan kerana menerima banyak aduan daripada penduduk setempat.
Beliau yang turun dalam operasi bersepadu bersama penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kejuruteraan Awam, Alam Flora dan Jabatan Kesihatan pagi tadi berkata, pelanggaran peraturan oleh pemilik premis di kawasan itu menyebabkan berlaku banjir kilat serta kesukaran kontraktor melaksanakan kerja-kerja pembersihan.
"Saya menerima banyak aduan dari penduduk di sini. Setiap kali bila hujan, tapak ini akan banjir sebab semua longkang atasnya telah ditutup.
"Saya dimaklumkan lorong belakang banyak struktur haram telah dibina. Alam Flora dan Jabatan Kesihatan tak boleh masuk untuk membersihkan tapak ini.
"Kita mengharapkan pasukan penguatkuasaan, Alam Flora, Jabatan Kesihatan dalam selesaikan masalah di tapak ini," katanya.

Dr Tan yang membawa pihak media menyusuri lorong belakang berkenaan berkata keadaan di situ amat merbahaya sekiranya berlaku kebakaran.
Pihak Jabatan Kesihatan juga tidak boleh masuk untuk melakukan kerja-kerja pembasmian nyamuk, lalat dan sebagainya.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar. Saya telah menghantar memorandum kepada beliau minta membantu saya untuk menjalankan lawatan hari ini.
"Dengan bantuan beliau semua jabatan yang terlibat datang.
"Pemilik premis akan diberi notis untuk merobohkan struktur haram. Sekiranya mereka tidak menuruti (notis) maka DBKL akan mengalihkan struktur. Itu terpulang kepada tindakan seterusnya DBKL," kata Dr Tan dalam sidang media di akhir lawatan.
Dalam sidang media kemudiannya, pihak berkuasa memberi jaminan akan melakukan kerja-kerja pembersihan dan mengalihkan struktur haram dalam tempoh terdekat.
Lawatan itu dihadiri oleh DBKL, Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kesihatan dan Alam Flora.