Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Bukit Lalang, Tikam Batu, kelmarin.
Menurut Johari, kebakaran yang memusnahkan dua unit rumah kampung itu berlaku kira kira pukul 1 pagi, 25 Jun lalu.
"Kediaman saudara Mohd Romli Hashim serta Khamal Hashim yang terletak bersebelahan antara satu sama lain telah hangus dijilat api dalam kejadian tersebut.
"Saya difahamkan kedua mereka hanya meraih pendapatan dan menyara keluarga dengan bekerja sebagai pemandu lori.
"Rumah Mohd Romli musnah hangus sama sekali. Harta benda yang lain termasuk dua buah motosikal, barangan elektrik, perabut, katil serta barangan keperluan tidak dapat diselamatkan.
"Kediaman milik Khamal dan keluarga juga mengalami kerosakan dengan sebahagiannya musnah termasuk harta benda," katanya.
Johari dalam lawatan itu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kedua dua keluarga malang terbabit.
"Memahami penderitaan dan beban yang ditanggung, saya menghulurkan sumbangan kepada kedua keluarga ini bagi menampung keperluan dan meringankan beban yang ditanggung," katanya lagi.
Comments