Satu laman web membantu penduduk Port Dickson bagi mendapatkan bantuan daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen dilancarkan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, laman web tersebut akan memudahkan penduduk di kawasan berkenaan memohon bantuan tanpa perlu berkunjung ke pusat khidmat wakil rakyat.
"Dalam simpang siur politik dan perbahasan ekonomi sebagai Ahli Parlimen, ADUN, kita ada tanggungjawab khusus di kawasan.
"Di Port Dickson walau staf kita dalam keadaan tak dapat bergerak (Perintah Kawalan Pergerakan) tetapi bantuan mesti disampaikan.
"Di pejabat Parlimen dan pejabat DUN, kita sediakan sama ada dari peruntukan kerajaan, dari peruntukan kita sendiri dan juga kawan-kawan untuk membekalkan makanan yang cukup.
"Dan saya minta kawan-kawan yang ada (mengetahui) keluarga yang susah, jangan biarkan sesiapa pun ketinggalan. Mesti ada usaha untuk menyampaikan (bantuan)," katanya dalam ucapan pelancaran laman web berkenaan petang tadi.
Menurut Datuk Seri Anwar, dengan kewujudan laman web itu usaha untuk menyampaikan bantuan akan lebih mudah dan lancar kerana pemohon boleh membuat permohonan pada bila-bila masa.
"Untuk Port Dickson, bagi mempermudahkan sesiapa yang ada telefon bimbit, tablet atau pun memaklumkan kepada jiran yang mampu memaklumkan kepada kita (boleh memanfaatkan laman web).
"Kita ada permohonan bank makanan, permohonan tablet PD, buku percuma dan lain-lain.
"Jadi kita (penduduk) boleh maklum bagi memudahkan proses itu," katanya.
Warga Port Dickson yang ingin memohon bantuan bolehlah melayari laman web: parlimenpd.com.
Selain permohonan bantuan barangan makanan laman web itu juga menerima aduan serta pendapat. Bagi anak-anak yang sedang melanjutkan pelajaran, mereka boleh memohon bantuan peranti pintar serta buku latihan untuk melancarkan proses pembelajaran.
Comments