
Parlimen sewajarnya dijadikan tempat yang bebas untuk berbahas dan mencari solusi serta tidak diikat ketat dengan undang undang di luar dewan.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) berkata, tindakan siasatan polis ke atas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman baru baru ini tidak wajar berlaku kerana dewan telah mempunyai peratuan sendiri jika anggotanya dianggap melakukan kesalahan.
"Kalau ada masalah yang dibangkitkan oleh pihak kerajaan, rujuk kepada jawatankuasa untuk mengambil tindakan. Tetapi untuk menghalang dan memberi ugutan kepada Ahli Parlimen memberi pandangan sebagaimana yang berlaku kepada YB Sepanggar, saya rasa ini duluan yang amat bahaya dalam dewan.
"Saya sendiri banyak yang saya sentuh, yang boleh dibuat selaku Ahli Parlimen di Parlimen dan tidak boleh dibuat di luar. Jadi kalau Tan Sri Speaker mengambil tafsiran ikut tafsiran polis atau KDN ia akan menghalang kebebasan.
"Lagi pun Parlimen ada kaedahnya untuk mengambil mana-mana tindakan kepada Ahli Parlimen yang melanggar (peraturan). Kepada saya sendiri pun bila bangkitkan 1Malaysia yang ada hubungan dengan Israel, dan kemudian dirujuk. Maknanya dia tak guna penguatkuasa di luar Parlimen," kata Anwar.
Beliau turut menegaskan ucapan Ahli Parlimen Sepanggar adalah pernyataan umum dan tidak mempunyai niat tertentu atau cubaan menghasut.
"Walaupun dari segi substantifnya saya baca teks ucapan YB Sepanggar, tidak ada menjurus kepada hasutan tertentu, ini hanya penafsiran longgar yang dibuat.
"Saya usulkan kepada Speaker supaya Speaker campurtangan menyatakan ini ruang Parlimen," katanya.
Respons kepada teguran berkenaan, Speaker Tan Sri Azhar Harun memberi ruang kepada Ahli Parlimen Sepanggar untuk merumuskan ucapannya yang sebelum itu menyebabkan beliau dipanggil pihak polis.
Ahli Parlimen Azis Jamman (Warisan - Sepanggar) berkata, beliau menegaskan Kerajaan Persekutuan hendaklah peka terhadap nasib rakyat di Sabah dan Sarawak yang seolah olah diana tirikan daripada menerima peruntukan secukupnya dari Kerajaan Persekutuan.
"Saya terkejut apabila pihak polis memanggil saya atas perkara yang saya sentuh di dewan ini. Jelas dalam teks ucapan saya merujuk rungutan suara rakyat Sabah hari ini. Malah rakyat di Sarawak juga.
"Saya katakan jika kita ingin selamatkan Malaysia laksanakan Perjanjian Malaysia 1963. Apa yang saya sebut dalam perbahasan saya itu sebenarnya zahir dari apa yang disuarakan dari rakyat Sabah. Kita tak mahu berpisah dengan Malaysia tetapi suara mengatakan kalau penganaktirian ini dilakukan lebih baik kita keluar. Ini disebutkan di dalam media sosial.
"Kalau Putrajaya tidak mahu ini berlaku maka perlulah sensitif apa sahaja yang dibangkitkan Ahli Parlimen baik kerajaan atau pembangkang," katanya.