Ahli Parlimen Johor Bharu, Akmal Nasir dan para pembeli rumah PRIMA di Kota Tinggi baru baru ini berhimpun membantah pihak pemaju yang gagal menyiapkan rumah seperti dijanjikan pada tahun 2020, namun sehingga kini masih lagi dalam proses pembinaan.
Menurut Akmal, pembeli rumah telah menanti hampir 2 tahun untuk berpindah masuk sebagaimana yang dijanjikan.
Tegas beliau, mengikut perjanjian, rumah akan siap pada penghujung tahun 2019 dan sekitar awal 2020, namun berlaku hampir 4 kali pertukaran tukar tarikh berpindah masuk.
"Terbaru, pemaju memberi tarikh masuk sekitar bulan April 2022, dan rumah telah masuk 94% untuk disiapkan.
"Namun tinjauan yang dibuat rumah jauh lagi daripada mencapai 94%, dan tarikh baru yang diberikan pemaju sekadar tarikh untuk mengelabui pembeli," katanya bersama himpunan puluhan para pembeli di tapak projek.
Sehubungan itu, pembeli memohon jasa baik Akmal untuk mendesak supaya proses pembinaan rumah dapat segera diselesaikan dan pembeli tidak merasa seperti dianiaya.
Menurut Akmal lagi, terdapat pembeli yang telah membayar pinjaman penuh, dan dalam masa sama turut terpaksa membayar rumah sewa yang amat membebankan. Ada juga pembeli, katanya, telah meninggal dunia sebelum sempat masuk ke rumah yang dibeli.
Hampir 100 pembeli turun beramai ramai bersama Akmal Nasir bagi menunjukkan bantahan kepada pemaju, khususnya Kerajaan Persekutuan yang menjadi pihak bertanggungjawab menyediakan rumah berkenaan.
コメント