Kenaikan harga barang dan kos sara hidup di Johor dibantah melalui penganjuran 3 flashmob di lokasi tumpuan melibatkan beberapa bandar utama, pagi tadi.
Lokasi pertama flashmob adalah di hadapan Kipmart Mall, Masai, seterusnya di lokasi berhampiran Plaza Pelangi, Johor Bahru manakala lokasi terakhir di Taman Daya dekat Tebrau.
Menurut satu kenyataan, flashmob tersebut dianjurkan oleh anggota KEADILAN, Pakatan Harapan dan rakyat yang memprotes kenaikan kos sara hidup ketika ini.
"Kesepakatan para pemimpin antara parti politik, NGO dan individu maka suara hati rakyat disampaikan melalui Flashmob ini kerana keterdesakan atas isu yang begitu menekankan, iaitu kos sara hidup
"Peningkatan kos sara hidup kian bertambah parah selepas pengumuman kerajaan pusat di mana mulai 1 Julai subsidi kepada beberapa barangan makanan ditarik dan menambahkan lagi derita rakyat," kata kenyataan itu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH, Hassan Abdul Karim turut hadir dalam himpunan di jalan berhampiran Plaza Pelangi, Johor Bahru.
Selain itu, flashmob juga disertai oleh Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor Jimmy Puah, NGO seperti Generasi KEADILAN diketuai pengerusinya Roslan Tahir, Ketua Cabang KEADILAN Pasir Gudang Murad Jailani, pemimpin AMK Pulai Faezuddin Puad dan rakan-rakan AMK Johor yang lain, termasuk beberapa ahli parti Muda.
Comments