Pasar basah di jalan Genting Kelang menjalani proses naiktaraf sejak beberapa bulan lalu.
Namun setelah projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu selesai bulan November, peniaga di ruangan jualan daging dan non halal merasa dianaktirikan kerana tiada kerja-kerja naiktaraf dilakukan di ruangan mereka.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew yang melakukan lawatan ke pasar tersebut baru-baru ini mahu Datuk Bandar Kuala Lumpur menyelesaikan rungutan para peniaga di situ.
"Saya telah beberapa kali datang sini untuk menyemak progress kerja-kerja ini.
"Pada 8 November saya datang. Masa itu hampir semua kerja telah selesai tetapi saya terkejut sebab saya lihat ada bahagian di tempat jualan daging langsung tak ada kerja naiktaraf dijalankan.
"Saya telah membangkitkan isu ini kepada Datuk Bandar dan dia berjanji akan beri peruntukan.
"Namun selepas satu bulan langsung tak ada apa-apa dilakukan. Seperti bumbung bocor bila hujan tempat itu digenangi air, lampu tidak berfungsi, siling jatuh dan sebagainya," kata Dr Tan dalam sidang media selepas lawatan.
Katanya, sikap DBKL yang seolah-olah berat sebelah itu tidak wajar berlaku di tengah-tengah kosmopolitan ibu negara Malaysia yang dihuni oleh pelbagai kaum.
"Saya rasa Datuk Bandar dan Menteri Wilayah perlu memberi satu penjelasan mengapa bahagian jualan daging dikecualikan dari kerja-kerja naiktaraf di pasar ini.
"Saya harap keadaan dapat diperbaiki secepat mungkin. Supaya tidak jadi satu isu atau ketidakpercayaan (ke atas kesaksamaan pihak berkuasa) di kalangan masyarakat kita," katanya lagi.
Comments