Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyumbang 10 mesin penumpu oksigen kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.
Dalam kenyataan kepada media beliau berkata, sumbangan bernilai RM38,000 itu adalah hasil kutipan dana dari orang ramai di dalam kumpulan WhatsApp komuniti.
"Saya dengan rakan-rakan di Bangsar dan Lembah Pantai telah menyampaikan sumbangan berbentuk mesin penumpu oksigen sepuluh unit yang telah kami serahkan pagi ini.
"Hari ini rentetan keadaan kita dapati warga yang datang ke unit kecemasan PPUM ada sedikit masalah untuk mendapat akses kepada belalan bantuan oksigen," katanya.
Selain menyumbang alat bantuan oksigen itu, beliau berkata, tumpuan juga diberikan untuk memastikan warga Lembah Pantai divaksin semaksimum mungkin bagi mengelakkan risiko kematian sekiranya terjangkit wabak Covid 19.
"Yang menjadi fokus bersama PPUM selepas ini adalah vaksinasi terutama kepada golongan tercicir.
"Kepada semua yang belum lagi mendapatkan vaksin sila daftar segera. Kita dapati bagi yang dapat dua dos vaksin dapat mengurangkan jangkitan Covid 19 tergolong dalam kategori 3, 4, 5.
"Saya mahu di Lembah Pantai maksimum penduduknya mendapatkan vaksin. Saya risau bukan semua warga di sini (anak tempatan) tetapi kerja di Lembah Pantai dan kesan (menjadi) pembawa Covid itu lebih besar," katanya lagi
Comments