Kluster pekerja asing antara penyumbang terbesar jangkitan Covid 19 di Malaysia.
Ahli Parlimen Johor Baharu, Akmal Nasir (gambar, dua dari kanan) kelmarin bergegas meninjau ke sebuah penempatan pekerja asing di Kampung Ungku Mohsin, Johor Bahru setelah menerima aduan penduduk tempatan mengenai kebimbangan penularan Covid 19.
Katanya, mengikut maklumat penduduk terdapat beberapa buah rumah di kawasan tersebut yang dijadikan hostel pekerja asing dan menempatkan sehingga 20-30 orang dalam sebuah rumah.
Apa yang membimbangkan penduduk, kebanyakan mereka bekerja di sebuah kilang yang telah dilaporkan mempunyai kes positif.
Menurut Akmal, penduduk memberitahu pada hari Jumaat minggu lepas, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat saringan terhadap mereka.
"Namun yang merisaukan, selepas proses saringan, penduduk mendapati pekerja-pekerja asing seperti dipindahkan antara rumah-rumah tersebut, yang mana salah sebuah rumah seperti menempatkan mereka yang memakai gelang.
"Sementara pekerja-pekerja asing yang lain ditempatkan di rumah-rumah lain.
"Lebih membimbangkan terdapat mereka yang disyaki memakai gelang KKM dilihat keluar dari rumah dan bebas bergerak di kawasan sekitar.
"Malah ada di antara mereka seolah-olah berkunjung dari rumah ke rumah yang menempatkan pekerja yang telah disaring," kata Akmal dalam satu kenyataan.
Perkara yang menggusarkan, menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia itu, walaupun para pekerja tersebut dalam kategori kontak rapat bukannya dijangkiti, sewajarnya mereka kekal di rumah masing-masing dan tidak keluar sesuka hati.
"Oleh itu, saya telah menghantar butiran terperinci aduan perkara ini kepada pejabat kesihatan, dan telah mendapat maklum balas bahawa satu siasatan akan dijalankan segera," kata Akmal lagi.
Comments