
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dilantik sebagai Naib Pengerusi Kesatuan Ahli-Ahli Parlimen Negara-Negara Anggota OIC (PUIC).
Mesyuarat kali ke 47, the Executive Committee of the Parliamentary Union of the OIC yang berakhir semalam di Algeria telah memilih Shamsul sebagai Naib Pengerusi PUIC mewakili Kumpulan Asia.
Menurut Shamsul, beberapa perkara yang menyentuh hal hal bersangkutan atau menekan negara Islam telah beliau utarakan dalam mesyuarat berkenaan.

"Saya bangkitkan beberapa perkara antaranya krisis kemanusiaan dan pembantaian umat Islam Rohingya di mana pentingnya Ahli-ahli Parlimen OIC bersatu untuk bertindak dengan segera, pemerkasaan ekonomi di kalangan negara-negara OIC khususnya merancakkan lagi hubungan dua hala di kala dunia sedang berdepan dengan cabaran ekonomi selepas pandemik Covid 19 dan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine
"Juga keperluan mendesak untuk memulakan diplomasi budaya (cultural diplomacy) di peringkat Ahli-ahli Parlimen OIC untuk umah saling memahami di antara satu sama lain, di dalam ikhtiar bersama mengangkat nilai-nilai Islam dan melawan keganasan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di samping itu, jelas Shamsul, beliau juga menyokong cadangan Ahli Parlimen negara Turki yang mencadangkan agar OIC menghulurkan bantuan kepada umat Islam di negara negara negara yang bukan anggota OIC.

"Saya juga menyokong cadangan Ahli-ahli Parlimen Turki yang telah memulakan inisiatif di bawah PUIC bagi menghulurkan bantuan dan tindakan segera kepada umat Islam yang menjadi kumpulan minoriti di negara-negara yang bukan OIC.
"Mereka bukan sahaja berdepan dengan cabaran dicabuli hak asasi, malah terpaksa berdepan dengan serangan masyarakat yang masih lagi terbelenggu dengan Islamophobia," kata Shamsul lagi.
Mesyuarat selama 2 dari di ibu negara Algiers itu diakhiri dengan mengeluarkan Deklarasi Algiers yang telah dipersetujui secara muafakat oleh Ahli-ahli Parlimen negara-negara OIC yang hadir.