Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar, tengah) baru-baru ini menganjurkan program sumbangan Deepavali kepada masyarakat berketurunan India yang memerlukan di beberapa kawasan di Melaka.
Menurut kenyataan KEADILAN Cabang Hang Tuah Jaya, program tersebut dimulakan di Ayer Keroh Height dengan bantuan disampaikan kepada sekitar 80 orang rakan komuniti India setempat.
"Program sumbangan Deepavali kemudiannya diadakan di sekitar Taman Maju, Jasin.
"Sumbangan disampaikan oleh YB Shamsul dan pasukannya dari rumah ke rumah. Beliau sempat menziarahi dan bertanya khabar rakan aktivis yang pernah bergiat aktif di sekitar Jasin dan Melaka," ujar kenyataan itu.
Pada hari yang sama program dianjurkan di Cabang Kota Melaka. Shamsul bersama Ketua Cabang Kota Melaka, Mahani Masban telah menyampaikan sumbangan Deepavali kepada masyarakat setempat.
"Program turut dianjurkan di Taman Muhibah, Merlimau. YB Shamsul dan pasukan KEADILAN Cabang Jasin menyampaikan sumbangan Deepavali dari rumah ke rumah.
"Prasanth Kumar Brakasam, Ketua Angkatan Muda (AMK) Cabang Jasin merangkap Ketua AMK Melaka turut hadir menjejaki ke setiap rumah komuniti India yang telah dikenal pasti," kata kenyataan itu.
Jelajah hujung minggu itu berakhir di Program Sumbangan Deepavali Pantai Peringgit. Di situ Shamsul Iskandar dan pasukannya menyampaikan sumbangan Deepavali kepada sekitar 80 orang penerima.
Selepas itu, beliau bergegas menziarahi ke rumah salah seorang warga komuniti setempat dan mendengar permasalahan yang sedang dihadapi dan telah menyampaikan sumbangan kecil.
KEADILAN Cabang Hang Tuah Jaya mengharapkan para penerima bantuan akan menyambut Deepavali dengan suasana penuh kesyukuran sungguh pun negara masih diancam pandemik Covid 19 dan kejatuhan ekonomi.
Comments