Tiada lagi risiko jangkitan Covid 19 dalam sidang Parlimen, sebagaimana menjadi dalih Menteri Undang-undang sebelum ini bahawa kebanyakan Ahli Parlimen merupakan warga emas dan berisiko dijangkiti.
Semalam, beberapa Ahli Parlimen pembangkang selesai mendapatkan suntikan ke 2 vaksin anti-Covid 19 yang memberikan mereka imunisasi terhadap virus maut berkenaan.
Sejurus selesai disuntik di Pejabat Kesihatan Daerah Titiwangsa, hampir kesemua mereka berkumpul melakukan demontrasi aman dengan mengangkat sepanduk "Saya telah divaksin kali ke 2" "Buka Parlimen" dan "Tamat Darurat" yang seharusnya menyedarkan kerajaan tiada lagi alasan sah menutup Parlimen.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai yang ditemuramah wartawan berkenaan hala tuju Pakatan Harapan (PH) berkata, KEADILAN dan PH sedang mengukuhkan parti buat masa ini.
"Fokus bagi KEADILAN mengukuhkan PH. Pada masa sama kita nyatakan beberapa prinsip, garis panduan dan gagasan kepada sesiapa yang ingin bekerjasama dengan PH sekiranya setuju dengan prinsip ini. Isu reformasi institusi, membanteras rasuah, kita setuju untuk bekerjasama.
"Kita akan kukuhkan PH," katanya.
Pengukuhan PH penting berikutan ura-ura PRU ke 15 akan diadakan selepas sebahagian besar rakyat divaksin, yang berkemungkinan selesai pada hujung tahun ini.
Comentários