Ahli Parlimen Bintulu Tiong Kang Sing didesak memohon maaf secara terbuka di atas kenyataan tidak bertanggungjawab menyifatkan Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham sebagai 'takut mati' dalam sesi perbahasan Parlimen semalam.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir, kenyataan yang dikeluarkan oleh Kang Sing itu mengguris perasaan barisan hadapan yang selama ini bersabung nyawa dan bertungkus lumus memerangi wabak Covid 19.
"Saya menggesa satu permohonan maaf secara terbuka dibuat oleh Tiong Kang Sing bagi memperbetulkan kesilapannya, yang telah mengundang pelbagai reaksi serta kemarahan daripada orang ramai.
"Ketika perbahasan semalam, MP Bintulu telah mengeluarkan kenyataan tersebut atas alasan kerana Dr Noor Hisham tidak turun sendiri ke Sabah bagi menangani penularan Covid-19 yang terus mencatatkan bilangan kes yang tinggi.
"Umum mengetahui Dr Noor Hisham adalah watak utama yang bekerja keras, siang dan malam bersama para ‘frontliners’ bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibendung dengan jayanya .
"Beliau telah mempamerkan etika kerja dan tahap profesionalisme yang sangat baik sepanjang berhadapan pandemik Covid-19 sejak bulan Mac lalu," kata Akmal dalam satu kenyataan.
Bagi Akmal, perkataan mempersoalkan Noor Hisham itu sepatutnya ditujukan kepada Menteri Kesihatan dan timbalannya dari parti pemerintah yang hampir tidak kelihatan melakukan lawatan kerja atau bercakap di media sejak bermulanya penularan wabak Covid di Malaysia.
"MP Bintulu seharusnya mempersoalkan apakah peranan yang dimainkan oleh Menteri Kesihatan dan dua Timbalan Menterinya yang mana setakat ini tidak menunjukkan sebarang gerak kerja dan sumbangan yang signifikan bagi membantu menangani pandemik Covid-19.
"MP Bintulu juga harus sedar bahawa penularan gelombang ketiga Covid-19 yang bermula dari Sabah adalah disebabkan kerakusan kerajaan Perikatan Nasional berpolitik sehingga menyebabkan Pilihan Raya Negeri terpaksa diadakan, seterusnya membawa kepada situasi yang sedang kita lihat pada hari ini," katanya.
Sehubungan itu, Akmal berharap Kang Sing segera membuat permohonan maaf dan mengambil pengajaran daripada kejadian tersebut.
Katanya, menangani pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab bersama seluruh anggota masyarakat dan tidak wajar diletakkan kepada seseorang individu semata-mata.
Σχόλια