Ahli Majlis MBK sertai perarakan Maulidur Rasul Taman Seri Inderapura
- Suara Keadilan

- 48 minutes ago
- 1 min read

Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi hadir dan menyertai perarakan Maulidur Rasul Peringkat Komuniti Taman Seri Inderapura anjuran Masjid Al-Ittifaqiyyah Taman Seri Inderapura yang berlangsung baru-baru ini.
Perarakan tahun ini membawa tema "Madani Dihayati, Umat Diberkati" dan disertai sekitar 500 orang penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat.
Fakhrul Anuar yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kuantan hadir bersama keluarganya dan berjalan beriringan bersama peserta lain sejauh dua kilometer.
Sebanyak 13 kumpulan mengambil bahagian dalam perarakan tersebut. Antara kumpulan yang terlibat ialah Warga Tadarus Al-Quran Masjid, KAFA Masjid, Persatuan Penduduk Taman Seri Inderapura (PEKERTI), KRT Taman Seri Inderapura, KRT Taman Bunut Rendang Jaya dan Badan Khairat Kematian Seri Inderapura (BAKTI).
Selain perarakan, sambutan Maulidur Rasul Komuniti Masjid ini turut dimeriahkan dengan pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan. Antaranya Forum Perdana, Pertandingan Azan, Pertandingan Memanah dan aktiviti-aktiviti lain yang melibatkan penyertaan penduduk setempat.
Fakhrul Anuar dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada pihak masjid dan jawatankuasa penganjur atas penganjuran program yang berjaya menyatukan komuniti.
"Sambutan seperti ini penting untuk menyemarakkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Semoga semangat dan suri teladan Baginda terus kita hayati dan suburkan dalam kehidupan seharian. Dengan berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah, insya-Allah kita dapat membina masyarakat yang lebih berakhlak, harmoni dan diberkati," katanya.
Beliau turut berharap nilai-nilai yang dibawa dalam tema "Madani Dihayati, Umat Diberkati" dapat diterjemahkan dalam amalan kejiranan, semangat kerjasama dan keprihatinan sesama penduduk Taman Seri Inderapura.




Comments