Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) yang baharu dilantik baru baru ini telah mengadakan program bersama kakitangan dan pesakit di HRC.
Dalam majlis tersebut, pihak ALPHRC yang diwakili oleh Andre Lai Chen Heng selaku Pengerusi turut berbesar hati untuk menyampaikan Anugerah Pekerja Contoh Terbaik Tahun 2023 bagi menghargai warga kerja yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang, berdedikasi dan berdisiplin sepanjang tahun 2023.
Dalam ucapan sulungnya, Andre Lai menggalakkan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak pemegang taruh hospital untuk bersama-sama menyertai penganjuran Karnival Jom Sihat Madani pada 27 Januari 2024.
"Beliau turut menyampaikan Anugerah Ikon Pesakit Inspirasi Hospital Rehabilitasi Cheras bagi Tahun 2023 kepada Muhammad Nur Syaiful Zulkafli berdasarkan perkembangan positif yang ditunjukkan selain semangat yang tinggi untuk pulih daripada kecederaan yang beliau hidapi.
"Muhammad Nur Syaiful juga adalah merupakan Pemenang Pingat Emas Sukan Para Asia di Hangzhou pada tahun 2022," kata kenyataan HRC.
Selain itu, majlis tersebut diserikan dengan nyanyian merdu oleh Pemenang HRC Idol 2023 yang merupakan pesakit amputee, Nazrul Hisham, Persembahan Koir The Voice of HRC dan Ceramah Motivasi bertajuk “Tahun Baharu, Azam Baharu, Minda Baharu - Bukan Biasa-biasa” yang disampaikan oleh Datuk Seri Mohd Shahrulnizam Mazlan, Penceramah Motivasi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Turut hadir bersama ialah Dr Faizul Nizam Abu Salim, Pengarah Hospital, Puan Nor Erzny Ashura Ahmad, Timbalan Pengarah (Pengurusan), Dr. Yusniza Mohd Yusof, Ketua Jabatan Perubatan Rehabilitasi dan barisan Ahli Lembaga Pelawat Hospital lainnya.
Comments