Oleh: Abdullah Zaid
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan kepada semua lapisan rakyat tidak memainkan isu 3R (agama, kaum, diraja) bagi mengekalkan kesejahteraan negara.
"Saya menyeru semua lapisan masyarakat supaya memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R.
"Kita semua sedia maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara yang mesti dihormati.
"Ia adalah hasil daripada persetujuan Raja-Raja Melayu untuk membentuk Persekutuan dan memberikan punca kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang," titah baginda.
Baginda bertitah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan akan terus kekal dipelihara.
"Namun begitu, agama-agama lain masih dibenarkan untuk diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.
"Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba memutar-belitkan atau mempolitikkan asas Perlembagaan ini," titah baginda.
Ucapan Titah Diraja merupakan ucapan sulung baginda di Dewan Rakyat setelah ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 sejak 31 Januari lalu.
Berdasarkan takwim di sesawang Parlimen Malaysia, MeÂsyuarat Pertama Dewan Rakyat akan berlangsung selama 19 hari sehingga 27 Mac ini.
Sementara itu, Mesyuarat Kedua pula dari 28 Jun hingga 18 Julai (15 hari), manakala MesyuaÂrat Ketiga dari 7 Oktober hingga 5 Disember (35 hari).
*Kredit foto: Jabatan Penerangan
Comments