Oleh: Abdullah Zaid
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dataran Parlimen di sini, pagi ini.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada jam 10.05 pagi tadi, disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal.
Seri Paduka menerima sembah ‘Hormat Diraja’ daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Baginda kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan utama itu sebelum lagu Negaraku dimainkan.
Selesai istiadat, Sultan Ibrahim diiringi ke Bilik Diraja untuk bergambar sebelum ke Dewan Rakyat bagi menyampaikan titah ucapan perasmian sulung baginda.
Istiadat pembukaan itu turut dihadiri anggota Kabinet, Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, perwakilan luar serta jemputan lain.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung 26 Februari hingga 24 Mac ini manakala Dewan Negara pula 18 Mac hingga 4 April depan.
Kommentare