top of page

Agong rakam terima kasih kepada Jemaah Menteri, terus khidmat terbaik



Oleh: Helmi Mohd Foad


Yang di-Pertuan Agong menitahkan anggota Jemaah Menteri agar memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara tanpa menggunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perutusan itu dititahkan oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam sepucuk warkah ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap baginda pada mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara semalam.


"Warkah perutusan kepada Jemaah Menteri itu dibaca oleh Perdana Menteri antara lainnya baginda mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, mantan-mantan Perdana Menteri, menteri-menteri dan bekas menteri yang telah berkhidmat sepanjang baginda bersemayam di Istana Negara.


"Sesi menghadap semalam adalah yang terakhir di mana sejak 13 Februari 2019, sebanyak 160 sesi menghadap pra-Jemaah Menteri telah diadakan," katanya dalam sidang akhbar pasca Kabinet di Putrajaya, hari ini.


Sesi mesyuarat pra-Kabinet semalam cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin khususnya kepada Al-Sultan Abdullah kerana ia merupakan kali yang terakhir sebelum baginda menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini.

Sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, baginda telah berkenan berangkat menghadiri mesyuarat pra-Kabinet sebanyak 160 kali termasuk sesi semalam melibatkan empat orang Perdana Menteri.


Mesyuarat pra-Kabinet pertama diadakan bersama baginda adalah pada 13 Februari 2019.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Sultan Abdullah turut menukilkan pesanan tokoh ulama terkenal Imam Al-Ghazali yang mengingatkan bahawa kerosakan rakyat adalah disebabkan pemimpinnya manakala kerosakan pemimpin disebabkan kerosakan ulama.


"Kerosakan ulama pula adalah disebabkan cintakan harta dan kedudukan," petik warkah itu.


Dalam pada itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai fitnah yang dijaja oleh pihak pembangkang kononnya sejumlah wakil parti politik diberi perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong kelmarin.


Katanya perkara itu telah dibincangkan dalam Kabinet dan ia ternyata palsu dengan satu laporan polis telah dibuat oleh kakitangan Istana Negara untuk tindakan pihak berkuasa.


"Dalam masa sama Jemaah Menteri bersetuju untuk memberi sokongan terhadap langkah tegas banteras rasuah tanpa kecuali atau kedudukan termasuk anggota Jemaah Menteri.


"PM tegaskan semua ahli Jemaah Menteri berada dalam pemantauaan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) maka Jemaah Menteri bersetuju tindakan tegas diteruskan," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page