
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah bersama Majlis Raja-Raja Melayu membuat keputusan untuk menolak pelaksanaan darurat yang dimohon oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.
Beliau berkata, permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.
"Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.
"Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini dari terus merebak.
"Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Agong juga mengingatkan ahli-ahli politik supaya memberhentikan segera segala 'politicking' yang boleh menggangu kestabilan pentadbiran negara.
"Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada," katanya.
Pada masa sama, Agong menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 perlu dibentangkan di sidang Parlimen kerana ia amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
"Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.
"Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian COVID-19 di negara ini.
"Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini," katanya.
Sehubungan dengan itu juga, Agong membuat seruan kepada seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik.
"Ketepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.
"Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera," katanya.
Comments