Agong gembira usaha banteras rasuah berjaya
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada tahun lalu di ibu negara.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat.
"Syabas juga saya ucapkan walaupun dunia menghadapi pelbagai cabaran, namun Malaysia masih berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi positif sebanyak 40.7% pada tahun lalu dengan kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah serta kemiskinan tegar berada pada paras 0.09%," titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah, tahun ini juga merupakan permulaan kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Baginda mahu rancangan tersebut memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat terutama dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.
Bagaimanapun, titahnya, segala perancangan dibuat tidak akan sempurna sekiranya amalan rasuah masih berleluasa.
"Saya pernah sebut dahulu yang saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya saya telah berjaya.
"Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sampai peringkat tertinggi.
"Ini hanyalah sekelumit daripada segunung. Saya yakin ada ramai lagi di luar sana sama ada di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya termasuk juga yang berada di dalam dewan ini akan terus diburu sampai jumpa," titah Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim turut bertitah dengan mengingatkan semua Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam, bahawa jawatan yang disandang adalah amanah rakyat dan negara.
Baginda menegaskan, jika ada sesiapa yang menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau bersubahat melindungi perasuah, dianggap sebagai pengkhianat kepada negara.









Comments