top of page

Agong berkenan terima cadangan Belanjawan 2026, dibentang esok

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 9
  • 2 min read

DS Anwar menyerahkan cadangan Belanjawan 2026 kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim
DS Anwar menyerahkan cadangan Belanjawan 2026 kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim

Oleh: Helmi Foad


Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima persembahan cadangan Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat esok.


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah dokumen itu dipersembahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.


Perkara itu dinyatakan baginda dalam hantaran Facebook hari ini.


Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata belanjawan yang akan dibentangkan esok itu merupakan

satu ikhtiar berterusan bagi memperkukuh ekonomi rakyat, memacu pertumbuhan negara dan memastikan kemakmuran dapat dirasai secara adil serta saksama.


"Alhamdulillah, pagi tadi saya telah mempersembahkan dokumen cadangan Belanjawan 2026 kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.


"Insya-Allah, esok saya akan membentangkan Belanjawan Keempat Kerajaan MADANI yakni satu ikhtiar berterusan untuk memperkukuh ekonomi rakyat, memacu pertumbuhan negara dan memastikan kemakmuran dapat dirasai secara adil serta saksama," katanya di media sosial.


Semalam ketika memberikan taklimat kepada editor media di Putrajaya, Perdana Menteri berkata Belanjawan 2026 akan menumpukan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.


Anwar menegaskan bahawa Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen kewangan tahunan sebaliknya cerminan keutamaan kerajaan dan hala tuju negara bagi tahun mendatang.


"Justeru, saya tegaskan, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan naratif reformasi dan agenda perubahan negara kepada rakyat.


"Insya-Allah, perincian lanjut akan saya bentangkan dalam Belanjawan MADANI Keempat pada Jumaat ini," katanya.


Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman web Parlimen, Perdana Menteri dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat pada pukul 4 petang esok.


Rang undang-undang itu dijadual dibahaskan Ahli-ahli Parlimen selama lapan hari di Peringkat Dasar sebelum sesi penggulungan oleh kementerian pada 29 Oktober hingga 4 November diikuti perbahasan di Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 November sebelum diluluskan Dewan Rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page