top of page

Agensi negeri, Persekutuan digembleng hadapi banjir Sarawak

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jan 12
1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Penduduk di kawasan berisiko banjir khususnya di Sarawak diminta supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai situasi banjir yang sedang melanda beberapa daerah di Sarawak, termasuk Serian, Samarahan, Bintulu, Mukah, Miri dan Sibu.


"Situasi banjir ketika ini masih mencabar, sebanyak 41 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka dan menempatkan seramai 3,690 mangsa.


"Amaran hujan berterusan masih dikeluarkan di beberapa lokasi berisiko. Penduduk di kawasan yang berisiko diharapkan sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah apabila diarahkan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.


Sementara itu tambahnya, semua agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas.


Malah koordinasi bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut diperkukuh bagi memastikan semua aset, bantuan dan keperluan asas dapat disalurkan dengan segera kepada mangsa banjir.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa situasi banjir di Sabah menunjukkan tanda-tanda pemulihan, namun masih terdapat 367 mangsa yang berlindung di dua PPS di daerah Beaufort.


"Meskipun situasi di Sabah semakin reda, saya akan terus memantau perkembangan terkini agar keselamatan penduduk terus menjadi keutamaan pihak berwajib di lapangan.


"Saya mendoakan agar semua mangsa banjir diberikan kekuatan, ketabahan dan dilindungi daripada sebarang kecelakaan," tambahnya.


Mustapha sementara itu juga memaklumkan, Pusat Khidmat Rakyatnya juga sedang giat melaksanakan program gotong-royong bagi membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di kawasan Parlimen Sepanggar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page