Agensi Kawalan Sempadan fokus perkukuh kawalan guna teknologi terkini
- Suara Keadilan

- 9 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) kini memfokuskan usaha memperkukuh kawalan sempadan negara dengan memberi keutamaan kepada pintu masuk berisiko tinggi, sambil merangka pendekatan ‘single command’ dan integrasi teknologi sebagai teras utama operasi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, AKPS yang baru setahun mula beroperasi kini mempunyai pengalaman menjaga 22 pintu masuk negara seperti sempadan darat, pelabuhan utama dan lapangan terbang.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang berkongsi pengalaman, data dan kes yang dikesan sepanjang setahun lalu bagi membangunkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang merentas agensi.
"Walaupun agensi kerajaan, tapi Kastam ada fungsi dan budaya kerja yang berbeza dengan Imigresen, MAQIS, Perhilitan dan sebagainya, jadi kita kena harmonikan.
"Konsep yang kita guna pakai adalah ‘single command at the entry point’ yang paling penting pada akhirnya mestilah ‘single command’, tak boleh arahan yang pelbagai nanti keliru.
"Kita juga menyelaraskan operasi, kongsi perkongsian risikan, kemudian kita elak pertindihan fungsi, melaksanakan satu tindakan dengan pantas dan tidak berkompromi dari segi ancaman keselamatan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan [PN-Kota Bharu] yang ingin tahu langkah kerajaan bagi memperkukuh lagi AKPS khususnya daripada segi penambahan perjawatan, integrasi kerjasama pelbagai agensi, kelengkapan teknologi dan peningkatan integriti pegawai penguatkuasa bagi memastikan pintu sempadan negara tidak dibolosi.
Menjelaskan lebih lanjut, Saifuddin berkata kawalan sempadan tidak boleh hanya bergantung kepada pegawai semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan kelengkapan teknologi termasuk sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem kawalan moden.
Berdasarkan pengalaman setahun lalu, AKPS kini ujarnya dalam perancangan untuk membangunkan ‘Integrated Check Point Management Command Center’.
"Imigresen dan Kastam sudah mempunyai sistem masing-masing. Namun, apabila AKPS beroperasi sepenuhnya di bawah konsep single command, semua sistem tersebut mesti mampu saling berhubung dan berintegrasi antara satu sama lain, itulah matlamat akhirnya.
"Mengenai penambahan perjawatan dalam AKPS, ia perlu dilakukan secara berperingkat dan berfasa bagi memastikan operasi agensi tersebut berjalan secara tersusun.
"Penempatan pegawai juga perlu mengambil kira pengalaman dan latar belakang masing-masing.
"Oleh itu, agensi-agensi tonggak seperti Kastam, MAQIS dan Imigresen menghantar pegawai untuk ditempatkan dalam operasi," katanya menjawab persoalan diajukan Takiyuddin.









Comments