Agenda MADANI tuntut kepimpinan stabil, berkesinambungan - Fadhlina
- Suara Keadilan
- May 18
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Gagasan Malaysia MADANI memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja komited, tetapi juga konsisten dalam menjamin kesinambungan idealisme reformasi, kata penyandang Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek.
Menurutnya, perjuangan memberdaya dan mencerdaskan wanita di negara ini telah digerakkan menerusi pelbagai usaha, termasuk melalui gerakan aktivisme dan politik — dan Wanita KEADILAN tidak terkecuali dalam memainkan peranan penting tersebut.
"Perjuangan memberdaya dan mencerdaskan wanita dalam sistem demokrasi negara bermula dengan partisipasi wanita dalam parti KEADILAN. Lapangan aktivisme dan khidmat untuk rakyat.
"Sepanjang sesi 2022-2025, saya dan saf kepimpinan Wanita KEADILAN Pusat telah menterjemahkan iltizam untuk memberdaya wanita menerusi pelbagai inisiatif di setiap peringkat.
"Ia merangkumi agenda memperkasa wanita, memperjuangkan hak dalam isu keganasan rumah tangga, perlindungan kanak-kanak, kewarganegaraan serta advokasi berkaitan anti gangguan seksual," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fadhlina, yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal bakal mempertahan jawatan Ketua Wanita KEADILAN pada pemilihan parti kali untuk sesi 2025-2028.
Menerusi hantarannya semalam Menteri Pendidikan itu menyatakan tekad untuk terus memastikan kesinambungan idealisme reformasi sekiranya terus dipilih untuk mengetuai sayap wanita KEADILAN.
Selain itu beliau turut menyatakan komitmen untuk memastikan kestabilan dalam pergerakan parti itu.
"Agenda MADANI yang bertunjangkan reformasi menuntut agar pasukan dan kepimpinan yang ada terus diberi mandat bagi memastikan kesinambungan dan kestabilan dalam sayap Wanita KEADILAN," tegasnya.
Menerusi hantaran tersebut beliau turut berkongsikan inisiatif utama yang berjaya dilaksana antaranya penubuhan Sekolah Wanita (SWAN) sebagai langkah strategik untuk melahirkan barisan pemimpin wanita yang berilmu, berani dan bersedia memimpin dalam bidang politik, ekonomi serta sosial.
Pencapaian lain termasuk penubuhan tabungan Dana 30WReps dan Run 2 Win yang diperkenal untuk menyediakan kebitaraan calon dan mempersiapkan jentera wanita bagi menghadapi PRN Sabah dan Pilihanraya Umum (PRU) Ke-16 yang akan datang.
"Inisiatif lain seperti Misi Bantuan Bencana Banjir Wanita Keadilan dan Bakul Makanan Wanita pula terus berjalan dalam ruang lingkup aktivisme sosial bagi memastikan kebajikan masyarakat terutamanya golongan wanita, otai reformis dan kanak-kanak sentiasa diberikan keutamaan," kongsinya lagi.
Comments