top of page

“Agama bukan bahan jenaka, wanita Borneo boleh jadi guru ajar erti hormat”

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
5 hours ago
2 min read
Junaidah mahu wanita, agama dihormati, bukan jadi bahan jenaka
Junaidah mahu wanita, agama dihormati, bukan jadi bahan jenaka

Exco Wanita KEADILAN Malaysia, Junaidah Makku @ Junn menuntut Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said menarik balik kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti agama Kristian serta memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat yang terkesan.


Junaidah berkata beliau memandang serius kenyataan berkenaan, termasuk rujukan terhadap Mazmur 129 serta kenyataan berkaitan biarawati Katolik.


"Sama ada sesuatu ungkapan dimaksudkan sebagai jenaka, analogi, sindiran mahupun retorik politik, ada garis yang tidak sewajarnya dilangkaui.


"Agama bukan bahan jenaka. Kesucian kepercayaan bukan modal politik. Martabat wanita bukan bahan untuk mendapatkan sorakan," katanya dalam kenyataan media.


Menurutnya, Malaysia dibina oleh masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya, justeru perkara yang dianggap suci oleh sesuatu komuniti perlu dihormati sebagaimana setiap individu mahu agama dan kepercayaannya dihormati.


Katanya, sebagai pemimpin wanita Borneo yang berasal dari Sabah, beliau mempunyai tanggungjawab untuk bersuara apabila isu membabitkan kehormatan agama dan martabat wanita.


"Biarawati Katolik bukan sekadar seorang wanita dalam pakaian keagamaan.


"Mereka membawa simbol pengabdian, disiplin rohani dan komitmen terhadap ajaran serta kehidupan keagamaan yang mereka pilih," katanya.


Junaidah berkata walaupun masyarakat tidak berkongsi kepercayaan yang sama, tanggungjawab kemanusiaan untuk menghormati perkara yang dianggap suci oleh orang lain tetap perlu dipelihara.


"Sebagai pemimpin wanita yang sentiasa turun ke lapangan, saya keluar masuk kawasan dan kampung, menyantuni wanita daripada pelbagai latar belakang.


"Saya bertemu ibu, wanita luar bandar, wanita yang berusaha mencari pendapatan, wanita yang mahu meningkatkan kemahiran serta mereka yang datang membawa pelbagai persoalan kehidupan," katanya.


Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan Sabah berkata pengalaman bersama komuniti melalui program kemahiran, pemerkasaan ekonomi dan khidmat masyarakat mengajarnya bahawa wanita tidak meminta untuk diagungkan, sebaliknya mahu dihormati, didengari, diberikan peluang dan maruah mereka dipelihara.


Junaidah turut menegaskan identitinya sebagai anak Sabah dan wanita Borneo yang memahami kehidupan masyarakat Sabah dan Sarawak yang hidup dalam kepelbagaian agama, bangsa, suku dan budaya.


"Di Borneo, keharmonian bukan slogan yang hanya disebut ketika kita memerlukan sokongan rakyat. Keharmonian adalah cara hidup kami.


"Justeru, jangan sesekali menyalahertikan kesantunan wanita Borneo sebagai kelemahan," katanya.


Menurutnya, wanita Borneo boleh berbicara dengan santun tetapi tidak akan berdiam diri apabila wanita direndahkan atau mana-mana agama dipersenda.


Sehubungan itu, Junaidah menuntut Noorazli menarik balik secara jelas, rasmi dan tanpa syarat kenyataan berkenaan, termasuk rujukan terhadap Mazmur 129, selain memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Kristian dan Katolik.


Katanya, permohonan maaf itu juga wajar ditujukan secara khusus kepada wanita beragama Kristian, para biarawati Katolik serta masyarakat Sabah dan Sarawak yang tersinggung dengan kenyataan tersebut.


"Saya menggesa beliau berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari dan tampil secara terbuka melalui saluran yang boleh diakses masyarakat seluruh negara.


"Memohon maaf tidak menjadikan seseorang pemimpin lebih kecil. Sebaliknya, keberanian mengakui kesilapan dan memperbetulkannya merupakan tanda kematangan kepimpinan," katanya.


Junaidah turut menggesa pimpinan tertinggi Umno termasuk Presidennya menyatakan pendirian rasmi dan jelas bahawa agama, tokoh agama serta simbol keagamaan mana-mana komuniti tidak sewajarnya dijadikan bahan jenaka, sindiran atau retorik politik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page