top of page

AG, Hannah Yeoh bantah, Agong beri pengampunan bersyarat kepada Najib

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
10 hours ago
2 min read

Bantahan Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh terhadap pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri itu.


Perkara itu didedahkan menerusi minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) Kali Ke-64 yang telah dinyahklasifikasikan dan dikongsikan mantan Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menerusi Facebook.


Menurut dokumen berkenaan, Mohd Dusuki berpandangan bahawa Najib sepatutnya terus menjalani hukuman penjara sehingga 2028 selaras dengan keputusan pengurangan hukuman yang dibuat sebelum ini.


Beliau turut membangkitkan persoalan perundangan berhubung pelaksanaan tahanan rumah yang menurutnya tidak diperuntukkan dalam undang-undang negara.


Minit itu turut merekodkan kebimbangan Peguam Negara bahawa keputusan membenarkan tahanan rumah boleh memberikan kesan kepada kerajaan, khususnya dari segi kestabilan politik, ekonomi, pelaburan dan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.


Sama pendirian


Hannah pula menyatakan pendiriannya adalah sama seperti Mohd Dusuki dan konsisten dengan pandangan yang pernah dikemukakannya dalam mesyuarat terdahulu.


Kedua-duanya juga tidak memberikan sebarang ulasan terhadap draf Perintah Pengampunan Bersyarat dan syarat-syarat yang dicadangkan kerana tidak bersetuju dengan pelaksanaan pengampunan berkenaan.


Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akhirnya memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.


Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 18 September lalu di Istana Negara.


Pendedahan minit berkenaan turut memperlihatkan perbezaan pandangan dalam kalangan anggota Lembaga Pengampunan mengenai asas perundangan dan implikasi pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.


Sebelum ini, pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan menerusi mesyuarat ke-61 memutuskan pengurangan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.


Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas beliau didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan kes berkenaan.


Pengampunan bersyarat yang diperkenankan Sultan Ibrahim pada September lalu membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pematuhan syarat ditetapkan.


Pendedahan minit mesyuarat itu sekali gus memperincikan pendirian anggota Lembaga Pengampunan serta proses pertimbangan sebelum keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib dimuktamadkan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page