
Oleh: Abdullah Zaid
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yakin kredibiliti yang ada pada Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mampu menguatkan lagi keselamatan dan kedaulatan negara sekiranya beliau diangkat sebagai Ahli Parlimen Kemaman.
Menurutnya, sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih Putajaya, tiada lagi ancaman luar terutamanya pengganas Sulu di perairan Sabah yang cuba menganggu gugat kedaulatan negara.
"Dalam rekod pentadbiran Kerajaan Perpaduan, tidak ada lagi tuntutan Sulu terhadap tanah air kita dan ia dilakukan oleh pimpinan Kerajaan Perpaduan
"Justeru, kita bawakan calon jeneral, seorang yang berpengalaman pertahankan negara dan sebab itu saya percaya orang Kemaman boleh memilih orang paling layak pertahankan dan bela nasib negara," katanya menerusi Ceramah Mega MADANI PRK Kemaman, malam tadi.
Tambahnya, dalam memastikan kemenangan blok Perpaduan, ADUN Sungai Tua itu menyeru pengundi Kemaman untuk tidak termakan ‘gula-gula’ yang cuba dimainkan PN.
Jelas Ahli Parlimen Gombak itu, alasan blok pembangkang yang menggunakan dirinya sebagai bahan kempen tidak boleh diterima sama sekali.
"Antara gula-gula ialah saya boleh jadi Menteri Besar dan Ahli Parlimen (Gombak), tetapi kita semua kena tahu Selangor di mana Kemaman di mana
"Saya nak pergi Parlimen setengah jam, daripada kemaman ke KL, tiga jam.
"Jadi macam mana dia (Dr Samsuri) nak bertugas, banjir pun tak sempat nak pulang (apatah lagi) pergi ke Parlimen," ujarnya lagi.
Dalam hal berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan, akan memberikan jawatan penting kepada calon BN itu sekiranya beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini.
Tegasnya, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu mempunyai rekod yang sangat cemerlang dalam perkhidmatan sebelum ini dan peluang itu tidak harus disia-siakan.
Kommentare