
Kesan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 amat teruk ke atas para peniaga. Terutama ke atas peniaga pasar malam yang tidak dibenarkan berniaga dan tiada tempat untuk mereka menjual hasil usaha seperti biasa.
Bagi ADUN Semerah, Khuzzan Abu Bakar, peniaga sepatutnya dibantu dengan pemberian khas one off oleh kerajaan.
Beliau baru-baru ini membantu seorang peniaga makanan pasar malam dengan menempah nasi bungkus kepada peniaga di Kg Parit Kuda itu untuk diedarkan kepada pemandu teksi dan pekerja yang bekerja ketika PKP.
"Pakcik Syukur telah mengusahakan perniagaan nasi ambeng di Pasar Malam sekitar daerah Batu Pahat selama 30 tahun. Buat masa ini, Pakcik Syukur tidak dapat meneruskan perniagaan susulan kekangan PKP.
"Oleh itu, saya mengambil inisiatif untuk membuat tempahan sebanyak 100 bungkus nasi ambeng dari Pakcik Syukur untuk diedarkan kepada mereka yang terpilih.
"Alhamdulillah, nasi ambeng Mak Esah dari air tangan keluarga Pakcik Syukur telah habis diedarkan kepada pemandu bas, pengusaha teksi, pekerja pasaraya dan pekerja penyelenggaraan landskap di sekitar bandar Batu Pahat," katanya.
Katanya lagi, Pusat Khidmat Rakyat DUN Semerah sentiasa membuka pintu untuk mereka yang memerlukan bantuan.