ADUN Semambu kecam video tular perlekeh maruah gelandangan
- Suara Keadilan

- Aug 5
- 1 min read

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang (gambar) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak terhadap video tular memaparkan sekumpulan pempengaruh memperlekah maruah seorang gelandangan.
Merujuk rakaman tular kumpulan itu nasi bersama tulang ayam yang telah dimakan kepada seorang gelandangan, beliau menyifatkan sebarang kandungan menjadikan penderitaan golongan terpinggir sebagai bahan hiburan sama sekali tidak wajar.
"Saya amat kesal dengan tindakan tidak beretika ini dan telah mengemukakan aduan rasmi kepada SKMM.
"Saya turut menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi menurunkan kandungan tersebut.
"Ini bagi mengelakkan penyebaran lebih lanjut yang bakal terus mencemarkan nilai murni masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, tular video pendek berdurasi kurang seminit memaparkan tindakan sekumpulan pempengaruh menikmati ayam goreng dari sebuah restoran makanan segera dan memberikan sisa makanan kepada seorang gelandangan, sebelum kemudiannya menyerahkan set makanan lengkap.
Wajah gelandangan terbabit kelihatan terkejut apabila membuka bungkusan tersebut, namun tetap mengucapkan terima kasih kepada mereka.
Kandungan tersebut menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak yang menganggap ia tidak beretika dan memperlekehkan maruah individu terbabit.
Mereka kemudian tampil memohon maaf atas tindakan tersebut dan memberi alasan rakaman itu sekadar eksperimen sosial.









Comments