ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat tanding Ketua Cabang, MPP
- Suara Keadilan
- Apr 12, 2022
- 2 min read

Cabang KEADILAN Tambun merupakan cabang paling banyak keanggotaan di Perak dan memiliki ranting antara yang terbanyak di seluruh negeri.
Berbekalkan prestasi itu, Ketua Penerangan KEADILAN Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad menawarkan diri untuk dipilih semula sebagai Ketua Cabang Tambun dan bertanding sebagai ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN.
Arafat juga berjanji untuk memperkasakan Cabang Tambun dan menarik sokongan pengundi Atas Pagar menuju Pilihan Raya Umum ke 15
"Saya sebagai Ketua Cabang Tambun selama 8 tahun telah membina KEADILAN Tambun ke tahap pencapaian terbaik sebagai cabang yang mempunyai anggota paling ramai di Perak dan antara ranting terbanyak di negeri Perak serta telah menerima anugerah cabang ketiga pendaftaran ranting terbanyak di peringkat Nasional dalam Kongress KEADILAN pada tahun 2021
"Dengan pengalaman politik selama 17 tahun aktif di lapangan, bermula sebagai akar umbi sehingga menjadi wakil rakyat, menyedari tugas utama sekarang adalah fokus kepada kebajikan rakyat, terus menyakinkan pengundi Atas Pagar dan mengembalikan kerusi Tambun kepada KEADILAN-PH pada PRU 15
"Justeru, saya mengesahkan hasrat untuk pertahankan jawatan ketua cabang dan menawarkan diri sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat dalam Pemilihan KEADILAN 2022 tahun ini," katanya.
Dalam pada itu, ADUN Hulu Kinta itu juga berkata sejak mengambil DUN dalam Cabang Tambun itu beliau telah menunjukkan komitmen yang jauh lebih baik dalam menjaga kebajikan rakyat, menyantuni rakyat, pertahankan hak serta suara rakyat berbanding wakil rakyat sebelum ini
"Dalam keadaan peruntukan terhad saya berjaya mengurus DUN yang mempunyai jumlah pengundi kedua terbesar di negeri Perak iaitu seramai 73,944.
"Di mana jumlah pengundi DUN Hulu Kinta lebih besar berbanding jumlah pengundi Parlimen Sungai Siput, iaitu seramai 72,259, tanpa mengkhianati mandat rakyat seperti mana dilakukan segelintir wakil rakyat dari negeri Perak apabila kerajaan PH ditumbangkan pada tahun 2020 lalu," katanya lagi.
Comentarios