top of page

ADUN DAP Tarik Diri di Melaka, Kerajaan Perpaduan di Putrajaya Tidak Terjejas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read
ADUN DAP Melaka mengumumkan menarik diri dari Kerajaan Negeri semalam. Foto: FB DAP Melaka
ADUN DAP Melaka mengumumkan menarik diri dari Kerajaan Negeri semalam. Foto: FB DAP Melaka

Oleh: Shahbudin Embun


ULASAN: Laporan media menyatakan bahawa DAP Melaka mengumumkan keluar daripada pentadbiran Kerajaan Negeri dan melepaskan semua jawatan pentadbiran sebagai bantahan terhadap pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan ADUN lantikan.


Apabila DAP Melaka menarik diri daripada Kerajaan Negeri, beberapa implikasi politik boleh berlaku. Iaitu Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan tidak semestinya terjejas.


Kerajaan Persekutuan dibentuk berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Krisis di Melaka lebih merupakan isu pentadbiran negeri, kecuali jika ia berkembang menjadi konflik nasional yang menjejaskan kerjasama antara parti-parti komponen.


Hubungan mencabar dalam Perpaduan


Bagaimanapun, tidak dapat dielak gubungan BN dan DAP akan memasuki fasa yang lebih mencabar dalam Kerajaan Perpaduan. Rundingan politik antara UMNO dan DAP selepas ini dijangka menjadi lebih sukar, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada awal 2027 jika tidak dibubarkan lebih awal.

Shahbudin Embun
Shahbudin Embun

BN masih mampu mentadbir Melaka berdasarkan komposisi semasa DUN. BN mempunyai majoriti yang kukuh. Oleh itu, pengunduran DAP daripada pentadbiran tidak semestinya menyebabkan Kerajaan Negeri tumbang.


Sebaliknya, PRN Melaka berpotensi menjadi pertandingan yang lebih sengit. Jika kerjasama BN dan PH berakhir di Melaka, beberapa kemungkinan boleh berlaku. Iaitu BN bertanding secara solo. PH bertanding secara berasingan. Dan PN cuba memanfaatkan perpecahan tersebut. Pertembungan tiga penjuru di banyak kerusi boleh berlaku.


Kestabilan politik


Tumpuan rakyat akan beralih kepada isu kestabilan politik. Pengundi lazimnya akan menilai parti yang dilihat mampu menjamin pentadbiran yang stabil dan memberi tumpuan kepada ekonomi serta kos sara hidup, bukan hanya pertikaian politik.


Hal yang berlaku di Melaka berpotensi menjadi "ujian politik" terhadap formula Kerajaan Perpaduan. Namun, adalah terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa ia akan menggugat Kerajaan MADANI di Putrajaya.


Banyak bergantung kepada sama ada kepimpinan pusat BN dan Pakatan Harapan dapat mencapai penyelesaian politik dalam kemelut kali ini.

Penulis merupakan penganalisis politik dan Pengerusi Biro Politik SEKPUR (Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia)

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page