top of page

ADUN Batu Uban meraikan sambutan Maulidur Rasul Persatuan Muslim Kadayanallur

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 54 minutes ago
  • 1 min read
Kumaresan (kanan) turut sama membungkus nasi kenduri untuk edaran
Kumaresan (kanan) turut sama membungkus nasi kenduri untuk edaran

Seramai 2,000 penerima disantuni menerusi program Edaran Nasi Kenduri sempena sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan Kelab Sukan dan Rekreasi Kawan-Kawan dengan kerjasama Persatuan Muslim Kadayanallur, semalam.


ADUN Batu Uban, A Kumaresan, yang juga Ketua Cabang KEADILAN Tanjong, berkata beliau turut mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong membungkus makanan sebelum diagihkan kepada penerima.


"Saya berkesempatan bergotong-royong bersama para sukarelawan membungkus makanan sebelum diedarkan kepada para penerima. Semangat kerjasama dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat amat saya hargai," katanya dalam hantaran di media sosial.


Menurut Kumaresan, program berkenaan bukan sekadar menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul, malah menjadi wadah memperkukuh semangat kebersamaan, kebajikan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.


Ahli persatuan bergotong royong menyediakan juadah
Ahli persatuan bergotong royong menyediakan juadah

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta seluruh sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan.


"Tahniah dan syabas kepada pihak penganjur serta semua sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan edaran nasi kenduri kepada 2,000 penerima," katanya.


Kumaresan berkata semangat kasih sayang, perpaduan dan saling membantu perlu terus dipupuk dalam masyarakat tanpa mengira latar belakang.


"Semoga semangat kasih sayang, perpaduan dan saling membantu terus subur dalam masyarakat kita," ujarnya.


Turut hadir dalam program berkenaan ialah Setiausaha Cabang KEADILAN Tanjong, Azlan dan Setiausaha Pengelola KEADILAN Tanjong, Taufiq.


Kumaresan turut menyampaikan ucapan Salam Maulidur Rasul kepada seluruh masyarakat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page