ADUN batu Uban kunjungi pengusaha kuih raya, tawar bantuan
- Redzuan Shamsudin
- Apr 24, 2022
- 1 min read

ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam bersama Jawatankuasa Pembangunan Wanita Kadun Batu Uban (JPWK) baru baru ini mengunjungi pengusaha kuih raya Kak Zaiton di Flat Hamna, Sungai Dua.
Menurut Kumaresan, pejabat beliau telah beberapa tahun memborong biskut raya Kak Zaiton yang telah menjalankan perniagaan tersebut sejak 32 tahun lalu.
"Kak Zaiton memberitahu saya pada raya tahun ini beliau menerima tempahan kira-kira 200,000 keping biskut raya termasuk tempahan dari luar Pulau Pinang yang dijual secara dalam talian.
"Ini adalah tahun ketiga kami memborong kuih raya daripada usahawan kecil untuk diedarkan kepada Frontliners dan komuniti sempena perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang.
"Inisiatif ini diambil bagi menyokong perniagaan industri kecil dan sederhana oleh wanita sekitar Kadun Batu Uban yang mana usahawan yang dipilih pula adalah berbeza pada setiap tahun," katanya.
Bagi Kumaresan, usahawa kecil dan sederhana memerlukan kekuatan pemasaran terutamanya melalui sosial media untuk terus berjaya.
Katanya, pemasaran digital amat penting pada waktu ini.
"Saya turut berkongsi kepada Kak Zaiton mengenai inisiatif dan bantuan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri ada menyediakan bantuan peralatan secara percuma bagi pembelian peralatan bernilai RM3,000. Boleh dapatkan borang permohonan daripada Pusat Khidmat saya.
"Selain itu Kerajaan Negeri juga menyediakan Skim Pinjaman Harapan melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) iaitu pinjaman tanpa faedah untuk kali pertama dan boleh meningkatkan nilai pinjaman sehingga RM25,000," katanya lagi.

Comments