ADUN Batu Uban hadir rumah terbuka Pertubuhan Kebajikan Jalan Kedah
- Suara Keadilan
- Apr 4
- 1 min read

ADUN Batu Uban, A Kumaresan kelmarin hadir ke majlis rumah terbuka Aidifitri yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Jalan Kedah bertempat di Gelanggang Sepak Takraw, Kompleks Jalan Kedah, George Town, Pulau Pinang.
Menurut Kumaresan, beliau amat gembira melihat kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang turut bersama memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri itu.
"Inilah Pulau Pinang, sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya, menunjukkan keindahan sifat majmuknya terutama ketika menyambut hari raya.
"Di bawah langit yang sama, kita dapat melihat bagaimana setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira bangsa dan agama, bersatu meraikan kegembiraan ini.
"Hari raya bukan sekadar perayaan agama, tetapi juga sebuah simbol perpaduan yang memupuk rasa hormat dan keharmonian antara rakyat Malaysia," katanya.
Justeru, beliau mengucapkan syabas kepada Pertubuhan Kebajikan Jalan Kedah yang menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tersebut dan menjemput pelbagai kaum meraikannya.
Tetamu lain yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan Dato Ir Rajendran, Datuk Bandar MBPP.
Comments