ADUN Batu Uban cadang penempatan semula penjaja tanpa lesen
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 1 min read

ADUN Batu Uban, A Kumaresan baru baru ini mencadangkan agar penjaja tanpa lesen di kawasan Paya Terubong 1 ditempatkan semula ke lokasi yang lebih sesuai supaya mereka dapat meneruskan perniagaan secara sah.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ahli Majlis Cikgu Chan dan Shafiz, serta para penjaja yang beroperasi berhadapan Relau Public Bank.
"Tujuan perbincangan ini adalah untuk mencari penyelesaian terhadap isu penjaja tanpa lesen yang berniaga di kawasan tersebut
"Pihak MBPP telah beberapa kali mengeluarkan arahan perobohan. Namun, saya memohon agar pihak berkuasa tempatan dapat mengambil pendekatan berunding terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan.
Menurut Kumaresan, sekiranya perlu, penempatan semula perlu dicadangkan supaya penjaja dapat meneruskan punca rezeki mereka dengan lebih teratur.
Sebagai wakil rakyat, beliau berkata, sentiasa memberi perhatian kepada isu penjaja dan peniaga kecil selain kerap membawanya ke perhatian pihak berkuasa tempatan.
"Saya sedar ada pihak yang menganggap saya sering membela penjaja tanpa lesen. Namun bagi saya, adalah menjadi tanggungjawab seorang wakil rakyat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi semua pihak," ujarnya.
Kumaresan menegaskan, sebagaimana yang ditekankan oleh Perdana Menteri, kerajaan pada waktu ini perlu lebih berpaksikan rakyat dan penempatan semula yang teratur akan membolehkan penjaja menjalankan perniagaan secara sah dan berdaya maju.
Comments