ADUN Batu Uban agih kalendar 2026 di kawasan tumpuan umum
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 1 min read

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan bersama pasukan Pusat Khidmat Kadun Batu Uban hari ini turun padang mengedarkan kalendar tahun 2026 kepada pengunjung di Pasar Lip Sin dan Food Court Super Tanker.
Menurut Kumaresan, program santai bersama masyarakat itu bertujuan merapatkan hubungan dengan penduduk setempat selain menyampaikan maklumat dan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.
"Hari ini saya bersama pasukan Kadun Batu Uban mengedarkan kalendar 2026 kepada para pengunjung di Pasar Lip Sin dan Food Court Super Tanker," katanya dalam satu kenyataan.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin yang meluangkan masa menyertai aktiviti bersama komuniti setempat.
"Program kami pagi ini bertambah nilai dengan kehadiran YB Sim Tze Tzin, Timbalan Menteri MITI yang baharu dilantik, yang turut menyertai aktiviti bersama masyarakat setempat," ujar beliau.
Dalam kesempatan sama, kata Kumaresan, Tze Tzin turut mengambil peluang menyampaikan penghargaan kepada para pengundi di Bayan Baru atas sokongan berterusan yang diberikan kepadanya sebagai Ahli Parlimen kawasan tersebut.
"YB Sim juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada para pengundi Bayan Baru atas sokongan padu yang berterusan kepada beliau selaku Ahli Parlimen Bayan Baru," tambah Kumaresan.
Beliau menegaskan, pendekatan turun padang seperti ini akan terus diperkasakan sebagai komitmen wakil rakyat dalam mendengar suara rakyat serta memastikan kebajikan penduduk Batu Uban sentiasa diberi perhatian.





