Tindakan 3 ADUN Amanah Johor yang berhijrah ke dalam KEADILAN tidak wajar dipersoalkan atau dikecam.
Menurut Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Syukri Razab, tindakan berhijrah ke dalam parti sekutu perlu diterima sebagai sesuatu yang harus berlaku asalkan ADUN-ADUN itu meneruskan perjuangan membela rakyat.
"Menekuni kenyataan Salahuddin Ayub berhubung penyertaan 3 Adun Amanah ke dalam KEADILAN yang beliau sifatkan sebagai tidak manis, saya merasakan Timbalan Presiden Amanah itu sedang keliru untuk membezakan antara rakan dan musuh.
"Apakah Salahuddin mahu KEADILAN menolak penyertaan tiga ADUN ini dan membiarkan mereka membeku dalam Amanah sedangkan jiwa mereka sudah tidak lagi bersama Amanah?
"Salahuddin sewajarnya berterima kasih kepada KEADILAN kerana memberi ruang alternatif kepada tiga pemimpin itu untuk terus setia bersama Pakatan Harapan (PH).
"Adalah lebih tidak manis untuk Salahuddin menanggapi hijrah tiga pemimpin ini secara negatif sedangkan mereka memilih KEADILAN, bukannya PPBM, Umno atau Perikatan Nasional," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Syukri, Salahuddin tidak wajar kelihatan begitu 'terusik' dengan penyertaan mantan ahli Amanah itu kerana KEADILAN juga tidak membantah sikap Salahuddin yang masih akrab dengan kelompok Pejuang yang tidak mahu bersama PH malah kerap pula menyerang Presiden KEADILAN secara terbuka.
Kata Syukri lagi, dalam sejarah KEADILAN, Azmin Ali pernah dikecam oleh pimpinan parti yang mempertahankan setiakawan dengan Amanah apabila Azmin sebagai Menteri Besar Selangor masih mengekalkan ADUN Pas dalam Kerajaan Negeri pada 2015 meskipun Amanah telah ditubuhkan.
"Sewaktu Azmin Ali membuli Amanah di Selangor dengan mengekalkan hubungan dengan Pas dalam Kerajaan Negeri, Azmin Ali dikritik dan diserang oleh kepimpinan KEADILAN sendiri (pro Amanah) sehingga berlaku pertembungan 'kem' yang dasyat dalam parti.
"Oleh itu amat tidak adil untuk Salahuddin menghakimi KEADILAN sebagai tidak setiakawan hanya kerana menjadi pilihan alternatif kepada beberapa mantan ahli Amanah yang masih mahu setia dengan perjuangan PH.
"Salahuddin boleh menyerang KEADILAN jika menjalinkan hubungan terlarang dengan Pas memandangkan parti itu merupakan seteru politik kepada Amanah. Apa yang pasti sehingga ke hari ini KEADILAN sangat menghormati semangat ini," katanya lagi.
Sehubungan itu, Syukri menyarankan agar isu berkenaan tidak dipanjangkan dan pilihan 3 ADUN Amanah itu dihormati demi memperkukuhkan Pakatan Harapan Johor menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.
Untuk rekod, semalam Malaysiakini memainkan isu 3 ADUN Amanah iaitu ADUN Senggarang Khairuddin A Rahim; ADUN Serom Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit telah menyertai KEADILAN sejak beberapa bulan lalu. Namun penyertaan itu tidak diheboh-hebohkan untuk menjaga hubungan dalam PH
Comentários