Aduan penduduk Taman Semarak ditunaikan Setiausaha Politik MB
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Hasrat penduduk perumahan Taman Semarak di Bukit Beruntung agar bonggol jalan dibina di persimpangan taman itu akhirnya terlaksana.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata kerja-kerja pembinaan bonggol dan penanda jalan siap dilaksanakan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 7 September lalu.
"Isu ini mula diangkat selepas lawatan mengejut ke kawasan berkenaan pada Julai bersama Ahli Majlis Murugan Veerapandian serta Pengerusi KRT Jalan Semarak BB7, Imkhsan Helmi.
"Penduduk meminta supaya bonggol dibina susulan kemalangan maut yang berlaku di persimpangan taman tersebut.
"Hasil perbincangan bersama pihak Kejuruteraan MPHS, dipersetujui pembinaan dua bonggol di setiap arah serta penanda perlahan jalan," katanya yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menerusi hantaran Facebook.
Saifuddin sementara itu merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutama Yang Dipertua MPHS, Puan Julaiha Jamaludin atas keprihatinan menyelesaikan aduan penduduk.
Beliau menegaskan, langkah kecil itu mungkin tidak dapat mengubah tragedi yang telah berlaku, namun ia adalah usaha penting untuk mengelakkan musibah berulang.