ADN Kota Damansara rasmi mesyuarat PPPKMNS, seru fokus kebajikan penjaja
- Suara Keadilan
- 15 minutes ago
- 1 min read

Oleh: ShaifulAnuar Sulaiman
Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Selangor (PPPKMNS) Cawangan Kota Damansara mengadakan mesyuarat cawangannya hari ini di Bangunan Masjid Kota Damansara.
Mesyuarat yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim yang juga Timbalan Ketua Angatan Muda KEADILAN Malaysia.
Dalam ucapan perasmiannya, Izuan menzahirkan harapan agar PPPKMNS terus menjadi pemangkin kebajikan ahlinya.
"Saya berharap persatuan akan terus menjaga kebajikan ahli-ahli dan menyusun program serta aktiviti yang bermanfaat untuk tahun baru," katanya.
Izuan turut menekankan kepentingan kerjasama antara persatuan dan wakil rakyat dalam menyokong usahawan kecil.
Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan kalendar 2026 kepada wakil penjaja negeri, Hanim Mohd Said, yang juga Pengerusi PPPKMNS Negeri Selangor.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Timbalan Pengerusi, Mohd Pitry Bahrim; Naib Ketua Negeri, Othman Abdullah; serta barisan exco PPPKMNS. Kehadiran tersebut mencerminkan komitmen kepimpinan persatuan dalam memperkukuh perancangan strategik bagi tahun mendatang.
Pengerusi Cawangan Kota Damansara, Muhammad Hairil Ansar, menegaskan komitmen persatuan untuk terus memperjuangkan kepentingan ahli.
"PPPKMNS akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk meningkatkan kesejahteraan penjaja dan peniaga kecil, terutama di daerah Kota Damansara," katanya.





