ADN Bersatu Selangor perlu nyata pendirian sebelahi Muhyiddin atau Hamzah
- Suara Keadilan

- Nov 2
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Krisis kepimpinan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini semakin meruncing apabila majoriti Ahli Parlimennya dilapor sudah berpihak kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin berbanding Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, perubahan sokongan itu menimbulkan persoalan besar terhadap pendirian Ahli Dewan Negeri (ADN) Bersatu di Selangor, sama ada mereka mahu kekal setia kepada kem Muhyiddin dan Azmin Ali atau memihak kepada Hamzah.
"Kalau 16 Ahli Parlimen Bersatu (tidak termasuk Hamzah, Wan Ahmad Fayhsal dan Wan Saiful) sudah menyokong kem Hamzah, persoalannya kini ke mana haluan ADN Bersatu di Selangor khususnya Dr Afif Bahardin dan Muhammad Hilman Idham yang rapat dengan Datuk Seri Azmin Ali.
"Apakah pendirian baki lapan orang lagi ADN Bersatu yang lain? Rakyat dan penyokong mereka berhak tahu. Strategi dan hala tuju di kawasan pun mesti jelas.
"Setiap ADN Bersatu perlu fikir jauh ke depan. Situasi ini, sekiranya Hamzah akan mengambil alih (teraju parti) sebelum PRU16, maka watikah calon nanti ditandatangani oleh presiden baharu," katanya.
Tular baru-baru ini salinan sepucuk surat ditandatangani 16 Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan kebimbangan serius mereka terhadap agenda 'cah keting' yang sedang melanda parti itu.
Mereka menegaskan, beberapa keputusan parti termasuk pemecatan dan penggantungan Ahli Parlimen dan tindakan memanggil Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu ke Lembaga Disiplin sebagai tindakan demokratik.
Sementara itu menurut Saifuddin, parti Pas sebagai rakan gabungan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) juga perlu mengambil perhatian terhadap pergolakan yang turut memberi kesan kepada kesepakatan blok pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri (DNS) Selangor.
Bagi memastikan pembangkang Selangor dapat memainkan peranan dengan berkesan, Pas mungkin boleh mempertimbangkan sama ada Azmin Ali masih sesuai duduk di kerusi Ketua Pembangkang Selangor atau peranan itu perlu diambil alih oleh Pas.
"Berdasarkan kesatuan antara wakil rakyat, kestabilan parti dan kekuatan akar umbi Pas yang lebih baik berbanding Bersatu, sudah tentu sebenarnya jawatan Pengerusi PN Selangor lebih layak disandang pemimpin parti Pas.
"Cuma isunya, sama ada Pas berani bertegas atau sekadar mengepit induk ayam - sentiasa takut dalam apa jua situasi," katanya lagi.









Comments