top of page

Adam Pemangku MPN Melaka: Shamsul berjiwa besar, hormati keputusan parti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Noraini Nordin


ULASAN BERITA: Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar) menghormati sepenuhnya keputusan Biro Politik KEADILAN melantik Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim untuk menggantikan tempatnya sebagai pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) menerajui parti di peringkat negeri Melaka.


Katanya, beliau menerima sepenuhnya keputusan tersebut yang dibuat mengikut Perlembagaan dan tradisi parti.

"Pelantikan Adam Adli sebagai Pemangku Pengerusi MPN Melaka adalah langkah bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelancaran gerak kerja parti di peringkat negeri.


"Saya akan terus memberi tumpuan memperkukuh cabang serta menyumbang kepada kekuatan KEADILAN Melaka secara keseluruhan," kata bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu melalui kenyataan di laman media sosialnya.


Dengan pendirian ini, Shamsul Iskandar terbukti seorang pemimpin yang berjiwa besar dan mempunyai sikap politik yang terpuji.


Biro Politik KEADILAN pagi tadi mengumumkan pelantikan Adam Adli sebagai Pemangku Pengerusi MPN Melaka berkuatkuasa serta-merta.


Shamsul merupakan Pengerusi MPN Melaka sebelum ini dan pertukaran tersebut dipercayai dilakukan berikutan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Selain itu, Shamsul Iskandar berjanji untuk memberi sokongan penuh kepada Adam dalam menjalankan amanah sebagai Pemangku Pengerusi MPN Melaka.


Beliau juga percaya Adam mampu memimpin KEADILAN di Melaka dengan baik.

"Fokus utama kita adalah memperkukuh organisasi parti, menyusun jentera, dan memastikan KEADILAN terus relevan serta dekat dengan rakyat," tambahnya lagi.

Seru pimpinan kekal bermuafakat


Shamsul turut menyeru pimpinan agar kekal bermuafakat, matang dan berdisiplin dalam mendepani cabaran politik semasa serta simpang siur serangan bertubi-tubi bertujuan untuk menggoyahkan kepimpinan Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Presiden KEADILAN.


Beliau mengakhiri kenyataan medianya dengan serangkap pantun yang berbunyi:-


Angkut-angkut terbang ke langit,

Mati disambar anak merbah,

Biar bertangkup bumi dan langit,

Setia saya takkan berubah.


Begitulah kentalnya jiwa Shamsul yang lebih mesra dengan panggilan Sam. Walaupun sedang diasak dari segenap penjuru Sam terus menunjukkan semangat juang yang tinggi demi keharmonian KEADILAN peringkat negeri dan nasional.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page