Adam Adli terima pelantikan pemangku Pengerusi MPN KEADILAN Melaka
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 1 min read

Pelantikan sebagai pemangku pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka, susulan keputusan yang dibuat oleh Biro Politik parti diterima oleh Timbalan Pengerusi MPN Melaka, Adam Adli Abdul Halim (gambar).
Menurut Adam, pelantikan tersebut adalah satu amanah besar yang diterima dengan penuh rasa tanggungjawab, selain bersifat sementara bagi memberi ruang kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyelesaikan proses perundangan yang sedang dihadapi.
"Pelantikan ini adalah keputusan yang dicapai Biro Politik KEADILAN menerusi resolusi bersama dan bersifat sementara, bagi memberi laluan kepada Pengerusi sebelum ini, Datuk Seri Shamsul Iskandar menyelesaikan proses perundangan yang sedang dihadapi beliau," katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan sepanjang tempoh memangku jawatan tersebut adalah memastikan kestabilan serta disiplin organisasi parti terus terpelihara, di samping memperkemas persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
"Dalam tempoh ini, keutamaan saya adalah untuk memastikan kestabilan dan disiplin organisasi parti terus terpelihara, di samping memperkemas persediaan awal dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka akan datang," jelasnya.
Adam Adli turut menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara kepimpinan negeri, cabang serta akar umbi akan memastikan KEADILAN Melaka terus bergerak secara tersusun dan berfokus kepada agenda rakyat.
"Saya percaya dengan kerjasama semua peringkat kepimpinan dan akar umbi, parti akan terus bergerak secara tersusun, berdisiplin dan fokus kepada kepentingan rakyat dengan berakarkan prinsip KEADILAN untuk semua," katanya lagi.





